klik

AMD gegar Dortmund

KUALA LUMPUR: Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menunjukkan taringnya di Jerman selepas mengungguli Kejohanan Whitsun Bawah 14 tahun (B-14) 2018 yang menutup tirainya di Kamen, Dortmund, semalam.


Skuad bimbingan Osmera Omaro gah membenam wakil Denmark, FC Midtjylland 4-0 sekali gus muncul juara kejohanan berkualiti itu yang turut disertai akademi bola sepak ternama di dunia seperti Dortmund, Stuttgart, Bochum dan Ingolstadt.

Lebih manis, Mohd Nabil Qayyum Zainuddin dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan dengan pasukan itu turut berbangga dengan satu lagi pencapaian apabila penjaga gol, Zulhilmi Sharani berjaya menamatkan saingan tanpa dibolosi sebarang gol.

Dalam aksi berkenaan, AMD tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit pertama hasil jaringan Muhammad Shahril Sobri sebelum sepakan sudut yang diperoleh AMD dimanfaatkan sepenuhnya oleh Daniel Edzuan Anuar untuk menjadikan kedudukan 2-0 empat minit berselang.

Skuad negara terus ghairah memburu tambahan gol dan gerakan lincah Mohd Nabil berjaya memperdaya dua pertahanan FC Midtjylland sebelum melepaskan rembatan padu untuk gol ketiga pada minit ke-21.

Gawang FC Midtjylland terus dirobek apabila hantaran lintang dari sebelah sayap kanan disudahkan Mohd Khairil Mohd Zain untuk gol keempat negara pada minit ke-28 sekali gus menebus kehampaan selepas sekadar terikat tanpa jaringan menentang lawan itu pada aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

Terdahulu, AMD cemas apabila gagal memecah kebuntuan pada aksi separuh akhir ketika bertemu kelab tempatan, SSV Reutlingen sehingga memaksa perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, ketangkasan Zulhilmi memastikan gawang negara terus kebal apabila cemerlang menyelamatkan tiga sepakan penalti sekali gus memastikan skuad negara menempah tiket ke final menerusi kemenangan 3-0 bertemu FC Midtjylland.

Sebagai rekod, AMD mengungguli saingan Kumpulan D menerusi pungutan 10 mata susulan meraih tiga kemenangan dan satu seri untuk meraih tiket ke suku akhir bertemu FC Koln yang ditundukkan 1-0 hasil jaringan tunggal Mohd Alif Izwan.

Pada aksi peringkat kumpulan, AMD meraih kemenangan 2-0 ke atas SuS Kaiserau dan garang membenam MSV Duisburg 4-0 pada aksi kedua namun diikat FC Midtjylland 0-0 sebelum menutup kempen peringkat kumpulan menerusi kemenangan 2-0 ke atas Breidablik UBK.


sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/428381/amd-gegar%C2%A0dortmund#cxrecs_s