klik

Azmin belum buat keputusan

PUTRAJAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukannya sebagai menteri besar selepas menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak lama lagi.




Ini kerana beliau telah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam.

Hari ini beliau telah pun diberi taklimat oleh Perdana Menteri berhubung peranannnya di peringkat persekutuan dan diminta untuk mengemukakan beberapa cadangan bagi mengukuhkan ekonomi negara selain merangka dasar bagi Kementerian Ekonomi, sebuah kementerian yang baharu diwujudkan di Malaysia.

Jelas Mohamed Azmin, beliau sangat terperanjat dengan pelantikannya walaupun perdana menteri sebelum ini telah beberapa kali memberi bayangan perkhidmatannya diperlukan di peringkat persekutuan.

“Saya mengetahui bahawa bantuan saya diperlukan di peringkat persekutuan tetapi tidak tahu akan dilantik sebagai menteri kanan.

“Saya sangat terkejut dan disebabkan itu saya bertemu dengan perdana menteri pada hari ini untuk diberi penjelasan lanjut mengenai peranan baharu ini dan kemudiannya saya perlu menghadap Sultan Selangor untuk memberi penjelasan kepada baginda sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya perkhidmatan saya diperlukan di persekutuan maka saya akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor tetapi saya perlu berbincang dengan baginda kerana mandat yang diberikan oleh rakyat Selangor sangat besar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan selama lebih sejam dengan perdana menteri di sini hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, perdana menteri juga meminta beliau mengemukakan beberapa cadangan kepadanya pada minggu depan.

Antara yang menjadi fokus utama kerajaan ketika ini adalah isu-isu yang mempunyai kepentingan langsung dengan rakyat seperti bekalan elektrik, air dan perumahan awam.

Malah menurut beliau, Mahathir juga mengiktiraf kejayaan Selangor di bawah kepimpinannya dan merasakan ia perlu diperluaskan di peringkat persekutuan.

“Isu perumahan rakyat contohnya, Selangor mempunya polisi yang sangat bagus dan saya rasa boleh dilaksanakan di peringkat persekutuan.

“Tetapi kita juga merasakan ada keperluan untuk mengadakan perbincangan dengan Bank Negara Malaysia serta Kementerian Kewangan berhubung pemberian pinjaman perumahan yang mana ketika ini hampir 60 peratus pinjaman ditolak.

“Kita boleh membina rumah tetapi bagaimana pula dari segi pembiayaan. Itu yang perlu diselesaikan,” katanya lagi.

Mengenai projek-projek mega pula, Azmin akan menilai dan menyemak semula projek-projek berkenaan selepas mengambil alih kementerian berkenaan.

Katanya, banyak perkara yang perlu disemak antaranya apakah rundingan dan syarat yang telah dimeterai bersifat telus dan adil.

Malah sekiranya perlu, rundingan semula akan diadakan.


sumber : http://malaysiagazette.com/v2/blog/2018/05/19/azmin-belum-buat-keputusan/