klik

Azmin: Hutang hampir RM1 trilion kerana banyak projek luar bajet

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata, kementeriannya akan mengenal pasti punca lain yang menyebabkan negara terpaksa menanggung hutang RM1 trilion ketika ini


PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, Malaysia sedang menanggung beban hutang hampir RM1 trilion kerana kebanyakan projek melebihi bajet diperuntukkan.

“Ini ada diperbincangkan pagi ini, tetapi kami mesti melihat butiran tentang apa menyumbang kepada hutang yang amat besar ini yang hampir RM1 trilion.

“Sebahagian daripadanya kerana proses tidak terbuka, bukan ‘transparent’ dan kebanyakan projek luar bajet,” katanya pada sidang media pertamanya selepas taklimat bersama Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid di pejabatnya di Kompleks B, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan menyemak semula jumlah hutang ditanggung negara yang menurut Barisan Nasional (BN) mencecah RM800 bilion.

“Ini tidak termasuk jumlah tersembunyi. Tidak mustahil jika hutang yang kita ada mencecah RM1 trilion,” kata perdana menteri.

Azmin berkata, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) antara projek mega diluluskan kerajaan BN yang akan dikaji semula.

“Kami perlu melihat semula dan berunding sama ada projek yang telah diluluskan atau belum. Kita kena tumpu kepada rakyat, sama ada beri kesan langsung kepada asas seperti kepada penduduk kampung, bekalan elektrik, bekalan air yang perlu diberi perhatian segera.

“Kita juga bukan sahaja menumpukan beberapa negeri, tetapi seluruh Malaysia.”

Beliau berkata, Bajet 2018 yang dirancang kerajaan BN sebelum ini dikekalkan buat masa ini, tetapi beberapa projek Surat Setuju Terima (SST) akan dikaji semula kerana proses tidak telus dan tiada keperluan melaksanakan projek itu.

“Ada beberapa projek yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum pilihan raya umum ke-14.

“Sama ada ia berikan manfaat atau tidak, kita akan semak,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azmin berkata, calon penggantinya untuk menerajui kerajaan Selangor akan diserahkan Sultan Selangor untuk ditentukan.

“Dalam beberapa minggu akan selesai. Proses ini tidak lama, akan selesai secepat mungkin.”

Azmin, 54, yang juga timbalan presiden PKR mengangkat sumpah sebagai menteri besar Selangor untuk penggal ke-2 di depan Sultan Selangor pada 11 Mei lepas.

sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/22/azmin-hutang-hampir-rm1-trilion-kerana-banyak-projek-luar-bajet/