klik

Guru didakwa liwat tiga pelajar

KUALA KANGSAR - Seorang guru Sains didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, hari ini atas 19 pertuduhan melakukan seks luar tabii dan cabul terhadap tiga pelajar lelaki, tahun lalu.


Tertuduh, Wan Khairul Aznim Wan Zahari, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja semua pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rohaida Ishak.


Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan melakukan seks oral terhadap pelajar berusia 14 tahun itu.

Enam pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Duda tanpa anak yang juga mempunyai hubungan amanah iaitu guru kepada pelajar turut didakwa telah mencabul pelajar berusia 14 dan 17 tahun itu.

Bagi 12 pertuduhan itu pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibicara bersama mengikut Seksyen 16(1) akta yang sama.

Pertuduhan itu membawa hukuman penjara 20 tahun dan sebat dan jika tertuduh adalah mempunyai hubungan amanah terhadap mangsa, tambahan penjara lima tahun dan dua sebat, jika sabit kesalahan.

Wan Khairul Aznim didakwa satu pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan meliwat pelajar berusia 17 tahun itu. Pendakwaan itu dilakukan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah dan premis di Gerik antara jam 2 pagi dan 11 malam pada 14 September 2017 hingga 25 Mac 2018.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Sharul Shabaath Ali.

Rohaida kemudiannya menolak permohonan peguam untuk mencagarkan geran tanah sebagai jaminan berikutan mahkamah hanya menerima deposit tunai.

Rohaida membenarkan jaminan sejumlah RM38,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan semula kes.

Pada 26 April lalu tertuduh yang telah berkhidmat selama 19 tahun pernah dihadapkan di mahkamah sama atas 17 pertuduhan melakukan kesalahan sama terhadap pelajar 15 tahun pada November 2016 hingga November 2017.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan berjumlah RM48,000 dengan seorang penjamin.

sumber : http://www.sinarharian.com.my/mahkamah/guru-didakwa-liwat-tiga-pelajar-1.838795