klik

Hutang negara dikurangkan kepada RM800 bilion - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan akan berupaya mengurangkan hutang negara daripada RM1 trilion kepada RM800 bilion menerusi pelbagai pendekatan termasuk memansuhkan beberapa agensi tertentu yang tidak perlu.


Beliau berkata, kepemimpinannya mewarisi kerajaan yang ditadbir urus secara teruk daripada kerajaan terdahulu yang mengumpul hutang banyak menerusi pinjaman daripada negara luar, bank asing malah sumber tempatan.

Dalam temubual bersama stesen penyiar Voice of America, Perdana Menteri berkata, kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan (PH) tidak akan membiarkan hutang negara berada pada tahap seperti itu.

Katanya, tindakan awal kerajaan ialah meneliti jumlah hutang negara dengan berusaha mengurangkannya sebanyak RM200 bilion termasuk menerusi pengurangan perbelanjaan kerajaan.

Dr Mahathir berkata, sudah tentu langkah awal kerajaan adalah untuk memastikan bahawa negara mampu membayar pinjaman itu dan cuba mengurangkan jumlah prinsipal yang dipinjam.

"Kita lihat banyak lantikan politik dalam kerajaan yang menjalankan kerja-kerja parti, bukan untuk kerajaan.

"Oleh itu kita perlu mengurangkan jumlah kakitangan (politik), begitu juga kewujudan beberapa agensi yang tidak ditadbir urus oleh kerajaan tetapi menggunakan kewangan kerajaan.

"Yang paling teruk adalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kerajaan menetapkan siling untuk pinjaman bagi memastikan pinjaman berada pada tahap yang boleh diurus.

"Namun dengan mewujudkan syarikat yang dimiliki sepenuhnya kerajaan tetapi tidak tertakluk kepada undang-undang dan peraturan kerajaan sehingga menyebabkan mereka meminjam dalam jumlah yang banyak (kemudian) wang yang dipinjam itu hilang dan dicuri. Ini antara elemen yang dalam pertimbangan kerajaan yang perlu dihapuskan dengan segera," katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau kini memimpin kerajaan yang mewarisi pentadbiran dan sistem kewangan yang dimusnahkan oleh kepemimpinan Datuk Seri Najib Razak sehingga menjerat negara dalam krisis hutang yang serius.

Tegasnya, sistem kerajaan sebelum ini diabaikan dan tidak digunakan, malah satu sistem baharu atau sistem autoritarian diperkenalkan.

"Tempoh 22 tahun saya menjadi Perdana Menteri dahulu agak mudah (kerana) saya mewarisi sistem yang sudah ada.

"Apa yang saya perlu lakukan adalah memperkenalkan idea-idea baharu supaya kita dapat mempercepat pertumbuhan dan pembangunan Malaysia.

"Tetapi kini saya berurusan dengan sebuah negara yang sebenarnya sudah musnah. Sistem kewangannya sudah musnah," katanya.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, hutang negara termasuk jaminan kerajaan bagi pembayaran hutang pelbagai agensi serta pembayaran pajakan kini berjumlah RM1,087.3 bilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan akibat tindakan dua Perdana Menteri terdahulu yang menukar hala tuju menyebabkan negara gagal mencapai Wawasan 2020.

Bagaimanapun beliau yakin Malaysia mampu mencapai status negara membangun dalam tempoh beberapa tahun lagi.

"Kita mampu menjadi negara membangun dalam tempoh lebih singkat berbanding beberapa negara sedang membangun lain dengan memberi tumpuan dalam aspek pendidikan dan teknologi," katanya.

Sementara itu ditanya mengenai strategi menangani kumpulan militan DAESH, Perdana Menteri berkata, pihak berkuasa berupaya mengawal kegiatan kumpulan itu di negara ini daripada merebak sehingga mencetuskan kejadian tidak diingini.

"Kami memang khuatir berkenaan penyertaan rakyat Malaysia dalam ISIS (DAESH), ada juga beberapa orang dari Malaysia yang pergi ke Syria dan terbabit dalam gerakan ISIS.

"Tetapi kami dapat kawal keadaan ini dan ia tidak merebak sehingga berlaku apa-apa

yang tidak diingini di Malaysia," katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/430545/hutang-negara-dikurangkan-kepada-rm800-bilion-pm