klik

Keyakinan kunci atasi Denmark - Chong Wei

BANGKOK: Malaysia memerlukan keyakinan tinggi jika mahu mengatasi pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Denmark untuk mengungguli saingan Kumpulan D kempen Piala Thomas 2018.

Menurut ketua pasukan Lee Chong Wei, kemenangan 5-0 ke atas Russia dalam aksi pembukaan kumpulan di IMPACT Arena, hari ini memberikan keyakinan kepada pasukan.

Malaysia menurunkan barisan terkuat dan tidak mensia-siakan peluang meraih kemenangan, bermula dengan Chong Wei yang menundukkan pemain nombor 51 dunia, Vladimir Malkov 21-9, 21-6.

Pemenang pingat perak Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kemudian menunjukkan persembahan cemerlang apabila meraih kemenangan 21-18, 21-19 ke atas bekas bekas juara Seluruh England, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov sekali gus meletakkan Malaysia mendahului 2-0.


Penampilan pertama Lee Zii Jia mengesahkan kejayaan buat Malaysia, apabila dia mengatasi Sergey Sirant 21-13, 21-16 dalam aksi perseorangan kedua.

"Ia adalah kemenangan yang amat penting bagi kami. Kami menurunkan barisan terkuat berdepan Russia, kerana kami perlu pantas menyesuaikan diri dengan kejohanan ini.

"Kemenangan 5-0 sangat penting, ia memberi kami keyakinan, dan kami memerlukannya jika mahu mengungguli Kumpulan D," kata Chong Wei, yang turut menjelaskan pemain perlu menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang yang mencabar.

Gandingan Aaron Chia-Teo Ee Yi, juga menampilkan persembahan memberangsangkan dalam aksi pertama mereka apabila mencatat kemenangan 21-16, 21-9 ke atas Evgenij Dremin-Denis Grachev, sebelum perseorangan ketiga, Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapkan kemenangan 5-0 selepas mengalahkan Rodion Alimov 21-9, 21-12.

"Kami mungkin sudah satu langkah di peringkat suku akhir, tetapi kami mahu mengungguli kumpulan. Kami masih perlu berdepan Algeria dan Denmark.

"Selepas itu, ada undian semula untuk suku akhir, jadi kami perlu lihat apa yang akan berlaku. Perkara utama adalah kami semua perlu kekalkan fokus," kata Chong Wei, yang mungkin berehat dalam perlawanan menentang Algeria, esok.


sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2018/05/428313/keyakinan-kunci-atasi-denmark-%C2%A0chong-wei#cxrecs_s