klik

Lamar kekasih tahun depan

KUALA LUMPUR: Lebih setahun menjalin cinta dengan model hijab, pelakon Nazrief Nazri mengakui, sudah bersedia membawa hubungan mereka ke fasa serius apabila merancang melamar gadis itu tahun depan.

Nazrief, 27, berkata, selama mengenali Aizatul Aqma, 24, dia tidak pernah berahsia mengenai hubungan mereka, malah sering memuat naik gambar bersama di laman sosial jika menghadiri acara tertentu.

"Jika ditanya mengenai perancangan mendirikan rumah tangga, secara jujur, kami masih belum berbincang mengenainya secara serius. Insya-Allah, jika ada rezeki, saya mahu melamarnya tahun depan.



"Ada yang berkata, kami sudah bertunang. Perkara itu tidak benar kerana kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain. Kami baru setahun berkenalan, namun dia memiliki keistimewaan tersendiri yang membuat saya jatuh hati.

"Saya tertawan dengan sikapnya yang manja, selain handal di dapur. Saya suka masakannya," kata jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu.

Nazrief yang kini dikenali menerusi drama Makmum Yang Paling Aku Cinta bersyukur, apabila gandingannya bersama Bella Dally dalam produksi yang disiarkan menerusi saluran HyppSensasi itu menjadi bualan ramai.

Biarpun Bella meletakkan syarat untuk tidak melakonkan babak bersentuhan dan berpelukan, Nazrief berkata, dia tidak terbeban dengan permintaan pelakon itu, malah tidak menghadapi masalah menzahirkan watak sebagai suami isteri.

"Saya tidak melihat permintaan Bella itu sebagai mengganggu lakonan, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan penuh timbang rasa. Saya hormati pendirian Bella sebagai pelakon bertudung. Selagi boleh dielakkan, saya cuba untuk tidak melakonkan babak bersentuhan.

"Alhamdulillah, drama adaptasi novel ini membuka mata penonton terhadap bakat saya dan Bella. Saya tidak menjangka drama ini mendapat jumlah tontonan yang tinggi sejak episod pertama disiarkan pada pertengahan Mac lalu," katanya.


sumber : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2018/05/428271/lamar-kekasih-tahun-depan