klik

Logo 1Malaysia UTC Pahang diturunkan

KUANTAN: Logo 1Malaysia di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, Jalan Stadium, di sini diturunkan pagi ini.


Tinjauan mendapati kerja menurunkan logo terbabit menggunakan dua kren bermula jam 8 pagi sebelum berakhir dua jam kemudian, jam 10 pagi.

Logo 1Malaysia adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak beliau menjadi ketua kerajaan pada 2009.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan akan menukar gagasan 1Malaysia kepada slogan baharu.

UTC Pahang yang dibangunkan dengan kos RM37 juta dirasmikan Najib pada 11 April 2013.

Ia dibuka secara rasmi pada 1 April 2013 beroperasi mulai jam 8.30 pagi hingga jam 10 malam setiap hari.

Bangunan empat tingkat yang sebelum ini adalah Terminal Makmur dinaik taraf dengan menempatkan lebih 50 agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri, badan berkanun, pusat pembangunan dan aktiviti belia, ruang perniagaan produk tempatan, gerai makanan serta pusat kegiatan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia menjadi pusat sehenti bagi pelbagai perkhidmatan kerajaan, swasta dan NGO dengan menawarkan perkhidmatan seperti permohonan pasport, MyKad, khidmat klinik gigi serta pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan lain.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK, Izad Zainal Muhammad Safian berkata, tindakan menurunkan logo berkenaan adalah atas arahan Kementerian Kewangan yang dilaksanakan di semua Pusat UTC seluruh negara.

"Kerja menurunkan logo itu dilaksanakan kontraktor yang dilantik dan berjalan dengan lancar," katanya.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/05/429568/logo-1malaysia-utc-pahang-diturunkan