klik

Cruz sanggup berkorban demi Selangor

KUALA LUMPUR: Pemain import dari Sepanyol, Alfonso de la Cruz tidak mempunyai masalah mengorbankan posisinya untuk beraksi di pertahanan tengah dalam usaha memperkemaskan kubu Selangor bagi berdepan PKNP FC dalam aksi Liga Super di Stadium Batu Kawan, Rabu ini. 


Dia yang pada awalnya beraksi di posisi tengah apabila menyertai skuad Red Giants musim ini diberi kepercayaan oleh jurulatih Nazliazmi Mohamad Nasir untuk bergandingan bersama Willian Pachecho di bahagian pertahanan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.

Menurut Cruz, walaupun terpaksa melakukan perubahan posisi itu, dia mengakui tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri bersama pasukan. 

"Jurulatih mahu saya bermain di posisi pertahanan tengah, bagi saya ia bukan satu masalah kerana saya perlu melakukan apa saja yang terbaik untuk pasukan.

"Ia perlawanan sukar bertemu PKNP yang memiliki penyerang yang bagus, apatah lagi Pachecho tidak dapat bermain kerana digantung perlawanan. Tapi saya tetap percaya dengan kemampuan pasukan ini untuk meraih kemenangan," katanya.

Keputusan Nazliazmi menukar posisi Cruz juga dikatakan sebagai langkah untuk melonjakkan sumbangan pemain itu dalam pasukan selepas dilihat kurang menyerlah di bahagian tengah.

Dia menjadi mangsa kritikan penyokong sendiri yang mahukan pihak pengurusan mencari pemain pengganti pada tempoh perpindahan kedua bulan ini.

"Setakat ini saya tidak ada masalah dengan pihak pengurusan, mereka masih beri kepercayaan kepada saya. Ini pasukan Selangor, sudah pasti jangkaan tinggi, jadi kritikan dalam bola sepak itu biasa bagi saya untuk berusaha lebih gigih," kata Cruz.

sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/05/428407/cruz-sanggup-berkorban-demi-selangor#cxrecs_s