klik

Kebijaksanaan, pengalaman Tun M mampu lonjak negara - TPM

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yakin dengan kebijaksanaan dan pengalaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sebelum ini, mampu membawa Malaysia ke tahap lebih baik.


Timbalan Perdana Menteri berkata, dengan barisan kepemimpinan yang ada dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ia mampu menjadi pasukan yang mantap untuk menerajui negara.

"Hari ini pertama kali saya datang untuk melapor diri (kepada Tun Dr Mahathir), dan ini satu perjumpaan yang penuh bermakna dan saya kira permulaan yang baik untuk datang dan membincangkan hala tuju untuk sama-sama menerajui kerajaan Malaysia baharu.

"Saya rasa Tun dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang lama, teruja, dan terbukti dalam pemerintahan, kita akan sama-sama buat satu pasukan mantap untuk negara," katanya kepada pemberita selepas bertemu Perdana Menteri di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini kira-kira jam 9 pagi sebelum meninggalkan pekarangan bangunan pada jam 9.43 pagi untuk menuju ke pejabatnya di Bangunan Perdana Putra.

Semalam Dr Wan Azizah mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil itu turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/05/428626/kebijaksanaan-pengalaman-tun-m-mampu-lonjak-negara-tpm#cxrecs_s