klik

Ramadan pertama bersama anak tiga tahun terpisah

Jempol: "Adam sedang belajar berpuasa dan saya seronok kerana dapat menyambut Ramadan bersamanya tahun ini," kata Alice Jarong, 29, ibu kepada Alif Hiransunthon, 5, yang disatukan semula dengannya selepas tiga tahun terpisah.




Kisah mereka mendapat perhatian akhbar ini pada hujung tahun lalu apabila Alice meminta bantuan bagi mendapatkan semula anaknya itu yang didakwa dilarikan pekerja kedai makan milik ibunya di Bandar Seri Jempol pada 2015.

"Seronok melihat Adam belajar berpuasa walaupun sekadar beberapa jam saja," kata Alice atau dikenali Hana ketika memberitahu perkembangan terkini anaknya menerusi WhatsApp.

Alice berkata, anaknya yang lebih mesra dipanggil Adam sudah belajar di sebuah sekolah agama di Pattani sejak awal tahun lalu.

"Kami semakin serasi tinggal bersama dan ketika ini Adam sudah mula belajar bahasa Siam," katanya.

Mengimbas kehilangan anaknya, Alice mendakwa, wanita tempatan berusia 40-an itu bekerja di restoran milik ibunya di bandar ini pada 2014 dan sebelum ini rapat dengan keluarga mereka sehingga kerap membawa anaknya pulang ke rumah selepas bekerja.

Masalah timbul apabila wanita itu menghilangkan diri bersama anaknya ketika dia meninggalkan Adam bersama ibunya kerana kembali menguruskan hal keluarga di Thailand, tiga tahun lalu.

Penantian wanita warga Thailand itu untuk mendapatkan kembali anaknya berakhir apabila kanak-kanak berkenaan dikembalikan ke pangkuannya, awal Januari lalu oleh bekas pekerja yang dipercayai melarikan Adam ke Johor selepas kisah mengenai pencariannya disiarkan akhbar.

Adam dikembalikan menerusi seorang kenalan wanita itu kira-kira jam 11 malam dengan menaiki bas dari Johor.

Dalam pada itu, Alice berkata sejak pulang ke Thailand bersama Adam, dia belum berkesempatan untuk ke Malaysia bertemu sahabat dan saudara yang berada di Jempol berikutan sibuk menguruskan anaknya.

"Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang bersama membantu saya mendapatkan semula Adam" katanya.


sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2018/05/427939/ramadan-pertama-bersama-anak-tiga-tahun-terpisah#cxrecs_s