klik

Super KIP kutip mata pertama

KUALA LUMPUR: Penunggang Moto2 negara, Khairul Idham Pawi mengutip mata kejuaraan sulungnya pada musim 2018 selepas menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di tangga ke-15, hari ini.




Begitupun, nasib malang terus menimpa seorang lagi pelumba negara yang beraksi di kancah Moto3, Adam Norrodin apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh di pusingan terakhir.

Selepas memulakan perlumbaan di petak ke-18, Khairul Idham yang diberi jolokan Super KIP mengesahkan satu mata menjadi miliknya apabila melepasi garisan penamat 25.996 saat (s) di belakang pemenang, Francesco Bagnaia dari Itali yang melakukan catatan 40:40.162s.

Bagi Adam yang berlumba bersama pasukan Petronas Sprinta Racing, memulakan perlumbaan di petak tercorot di Litar Le Mans memberinya kesukaran dan sekali pun berjaya mendaki ke tangga ke-21, insiden meranapkan impiannya.

"Saya merasa amat kecewa. Sesi kelayakan tidak berjalan dengan baik selepas kemalangan yang saya peroleh semalam. Saya memperoleh beberapa kecederaan disebabkan kemalangan itu dan ia masih terasa hari ini," kata Adam yang memulakan perlumbaan di petak ke-28.

"Tetapi ia bukannya alasan untuk saya memberikan yang terbaik. Permulaan perlumbaan saya tidak begitu baik. Kemudian saya bersaing dengan (Alonso) Lopes yang saya rasa sedikit bodoh.

"Kelajuan jentera saya juga tidak cukup untuk mengejar (kelompok depan). Pada pusingan terakhir, hanya tinggal saya dan Kazuki Masaki.

"Saya memintasnya pada selekoh ketiga terakhir tetapi ada sedikit sentuhan ketika melepasi selekoh dan saya kehilangan cengkaman di tayar belakang."

Sementara itu, rakan sepasukan Adam, Ayumu Sasaki dari Jepun terlepas untuk menambah mata kejuaraan selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

Ketika Khairul Idham yang berlumba bersama pasukan Idemitsu Honda Asia meraih mata, pelumba baharu pasukan Malaysia yang turut beraksi di Moto2, SIC Racing Team, Niki Tuuli dari Finland menamatkan perlumbaan di tangga ke-22.


sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2018/05/428071/super-kip-kutip-mata-pertama#cxrecs_s