klik

Jumpa raja, disogok wakil rakyat Kedah, Shukri dedah tekanan kes 1MDB

Shukri Abdull berkata, seorang ahli Parlimen BN dari utara cuba menyogoknya untuk menutup kes 1MDB

PUTRAJAYA: Datuk Seri Shukri Abdull mendedahkan beliau dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed pernah menghadap Majlis Raja-raja sebanyak 2 kali pada 2015 mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.


“Kami bertemu Majlis Raja-raja sebanyak 2 kali. Kami 2 kali bertemu dengan mereka.

“Tetapi kami kecewa,” kata ketua pesuruhjaya baru SPRM itu pada sidang media di ibu pejabat agensi itu hari ini.

Shukri yang memegang jawatan timbalan pengarah operasi SPRM pada 2015, mengetuai siasatan ke atas skandal kewangan berkaitan SRC International Sdn Bhd dan sumbangan RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank bekas perdana menteri itu.

Shukri berkata, beliau turut menemui beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk menceritakan kebenaran isu 1MDB serta menggesa Najib digantikan bagi menyelamatkan keadaan.

“Kes RM2.6 bilion adalah kes benar. Saya kata buang Najib dan ganti dengan (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi atau (Datuk Seri) Hishammuddin Hussein untuk jadi perdana menteri.

“Tetapi, dalam ramai-ramai menteri yang kami jumpa, 3 sahaja berani bersuara, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“(Pemimpin) yang lain semua tak nak dengar. Saya dah kata saya tidak ada sebarang kepentingan. 1MDB bukan cerita rekaan, ini kes terlalu besar yang tidak boleh dilindungi, usahanya tidak berjaya.”

Shukri turut mendedahkan seorang “ahli Parlimen dari utara” cuba menyogoknya untuk menutup kes 1MDB, pada 2015.

Tanpa menyebutkan nama wakil rakyat BN itu, katanya, ahli politik itu menghubunginya 2 kali ketika beliau sedang melengkapkan siasatan.

“Ahli Parlimen itu tanya ‘you’ (saya) nak apa?

“Saya cakap jangan masuk campur siasatan saya. Saya tidak mahu apa-apa, saya hanya menjalankan tanggungjawab dan saya tidak mempunyai kepentingan dalam kes ini.”

Sementara itu, dalam nada sebak, Shukri menceritakan kebimbangan apabila 2 pegawainya ditukarkan ke jabatan lain ketika beliau melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Beliau kemudian menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Paul Low untuk meminta 2 pegawainya dikembalikan ke SPRM.

“Saya WhatsApp Menteri Datuk Seri Shahidan dan Paul Low, saya ugut mereka tolong kembalikan pegawai yang ditukar ke SPRM secepat mungkin, kalau tidak saya akan guna kuasa saya porak-perandakan keadaan.

“Shahidan kata awak jangan buat apa-apa, biar saya selesaikan, saya janji akan hantar balik pegawai awak ke SPRM,” katanya yang pernah diugut dengan peluru hidup.

sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/22/jumpa-raja-disogok-wakil-rakyat-kedah-shukri-dedah-tekanan-kes-1mdb/