klik

Najib selesai beri keterangan pada SPRM selepas disoal lebih 4 jam

Najib keluar dari ibu pejabat SPRM jam 3.15 petang selepas diambil keterangan dalam siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak keluar daripada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jam 3.15 petang selepas diambil keterangan dalam siasatan baru ke atas SRC International Sdn Bhd.


SRC International adalah bekas anak syarikat 1MDB sehingga diletakkan bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Bekas perdana menteri itu tiba di bangunan SPRM di Putrajaya pada 9.42 pagi tadi diiringi peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden. Beliau disoal penyiasat lebih 4 jam sebelum beredar dengan menaiki kenderaan Toyota Vellfire warna putih.

“Saya beri kenyataan kepada SPRM pada 2015 atas isu SRC dan kenyataan hari ini lanjutan pada kenyataan tersebut, dengan lebih terperinci, dengan pengesahan dokumen, dan beberapa perincian yang lebih menyeluruh.”

Menurut Najib, proses mengambil keterangan akan bersambung pada Khamis.

“Sebahagian besar sudah selesai,” katanya.

Najib disambut media tempatan dan antarabangsa yang menunggu seawal 8.00 pagi tadi, untuk mendapatkan perkembangan terkini siasatan melibatkan bekas perdana menteri itu.

Pada Jumaat lepas, SPRM menyerahkan notis meminta Najib hadir memberi keterangan selepas membuka semula siasatan kes aliran wang dari SRC International.

Pada 26 Jan 2016, peguam negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membersihkan Najib daripada sebarang salah laku dalam siasatan ke atas SRC International dan dana RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadinya.

sumber : http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/05/22/najib-selesai-beri-keterangan-pada-sprm-selepas-disoal-lebih-4-jam/